April 16, 2013

Kalau Dia pergi...

Malam itu tak secerah selalu. Bulan dilindungi awan. Dan tiada satu bintang pun bergemerlapan untuk diperhati. Angin sekadar lalu menjamah tubuh yang sememangnya dingin. Suasana restoran tempat biasaku melepak bersama Dia malam itu sunyi. Hanya satu dua orang yang sedang leka menikmati makanan. Jalan lengang walau waktu itu arah jam baru berdetik ke angka 10 malam. Sudah aku kata, malam ini tak secerah selalu. Semua isi alam senyap sunyi. 'Huhhh..' aku melepaskan keluhan kecil. Sudah hampir sejam aku duduk menunggu, orang yang ditunggu tidak juga tiba. 

Sedang aku leka bermain game 'zombie smash' dalam handphone, aku disapa seseorang yang tidak dikenali.
Dia seorang perempuan, ayu dan bermata bundar. itu sahaja yang dapat aku gambarkan apabila pertanyaannya mengimbau seribu kenangan lalu.

* * *
"Berapa kali saya nak cakap, yang saya tak mungkin cintakan awak. Kita cuma berkawan. Tak cukup ke kalau saya cuma sayangkan awak sebagai kawan ?'' Soal dia  ketika aku dengan beraninya menanyakan perasaan dia kepadaku malam itu.

''Ya, kita memang kawan dari dulu. Tapi jujur, saya dah lama cintakan awak. Dan saya tak sanggup tengok awak menangis disebabkan lelaki yang tak tahu hargai awak!'' Jawabku dengan sedikit nada tegas seolah tidak berpuas hati dengan penafian yang kononnya dia hanya sayangkan aku sebagai kawan. Sedangkan selama 5 tahun kami berkawan, semua orang boleh nampak betapa akrab dan mesranya layanan dia terhadap aku. Aku kuatkan hati meluahkan segala rasa yang terbuku setelah seminggu Dia seakan melupakan aku. Aku tahu Dia tipu.

''Awak tak tahu. Awak takkan tahu. Kita tak akan bersama. Awak boleh dapat pasangan yang lebih baik. Yang boleh cintakan awak sampai akhir hayat awak. Bukan saya...'' Jawab Dia lemah. Rambutnya yang berjurai mencecah mata disisipkan ke tepi. Matanya yang bundar sudah mula berkaca.

Macam mana aku nak tahu kalau kau tak cuba bagitahu? Macam mana aku nak dapatkan pasangan lain yang lebih baik sedangkan hati aku dah lama kau curi? Dan kenapa bukan kau yang boleh teman aku sampai mati ? Kenapa bukan kau ? kenapa ? 

Bertubi-tubi soalan berasak dalam kepala aku masa tu, tapi aku hanya diamkan. Aku tak mahu bertanya kalau itu yang dia mahu. Aku tak mahu memaksa. Aku tahu hati dia sedang bergolak sengsara. Dua tiga minggu ni kelakuan dia aneh tak seperti selalu. Dia tak lagi luangkan banyak masa diluar, ada masanya hampir seminggu dia berkurung dalam bilik. Bila ditanya, jawapannya ringkas 'Dia okay, takde pape'. Semua panggilan dan SMS aku tidak dibalas. Dia seakan menyembunyikan diri. Hanya dua minggu selepas itu Dia mula berkelakuan seperti asal. Dia dah mampu datang menemuiku dan ketawa seperti selalu. Tapi aku perasan, dalam ketawa Dia ade sendu di mata. Dia sedang menangis, ya hati Dia sedang menangis. Tapi aku tak tahu kenapa.

Sudah 5 tahun kami berkawan rapat, tak pernah Dia sembunyikan apa-apa dari aku. Segala rahsia, keburukkan atau kebaikkan Dia semua aku tahu. Dengan siapa Dia bercinta, sejauhmana hubungan Dia dengan sesiapa semua itu juga aku tahu, walau Dia tak pernah tahu aku menderita mencintainya dalam diam.  Aku hanya tersenyum bila Dia cerita bahagianya dia. Aku turut sama sedih bila Dia kecewa. Aku tak mampu buat apa-apa untuk bahagiakan Dia. Bukan, sebenarnya aku takut kehilangan  bila Dia tahu perihal hati ini.

Cuma ada satu ketika, bila Dia pulang dari menjalani satu ujian kesihatan akibat kerap pening kepala, Dia banyak mendiamkan diri. Dia dah tak rajin bercerita dan berkongsi rahsia dengan aku. Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Kadang-kadang bila aku tanya, langsung tidak berjawab. Sejak itu juga Dia selalu berkurung. Bila aku tanya adakah semua tu ada kaitan dengan keputusan ujian yang diterimanya hari itu, sekeras-kerasnya Dia menidakkan. Katanya, Dia sihat dan cuma perlukan rehat. jadi aku beri Dia masa secukupnya. Fikir aku, mungkin Dia sedang kecewa kerana baru putus cinta. Tapi setahu aku, dah hampir setahun Dia tak bersama sesiapa. Setahun itu juga banyak masa Dia dihabiskan dengan aku. Arghh, aku pelik.

''Awak, saya rasa lebih baik awak lupakan saya. Jadi, kalau saya pergi, hati awak takkan terlalu derita. Saya tak mampu nak buat awak bahagia...'' Lembut genggaman Dia menyedarkan aku. 

"Mustahil.'' Kata aku sepatah. Aku tak mampu nak ungkap sebarang rasa ketika tu. Aku memang pengecut yang tak boleh pertahankan hati sendiri. Mana layak sesorang seperti aku dicintai dan mencintai.

Dia tersenyum, menarik tangannya kemas dan berdiri. Sebelum berlalu Dia toleh ke arahku dan berkata sesuatu. Sesuatu yang aku tak mengerti kenapa mesti diungkapkan kalau dia tak mahu.

Sesuatu yang perlahan-lahan menerjah kencang degupan jantungku.

* * *

''Hai..'' Sapa gadis ayu bermata bundar itu kepadaku.
Aku memandangnya hairan. Dia tersenyum. 

''Sebenarnya, Saya selalu perhatikan awak. Setiap malam awak mesti datang ke sini. Awak tunggu siapa Sebab saya tak nampak awak pesan apa-apa makanan pun ?'' Tanya dia seakan curiga. Mungkin sebab aku bersendirian, itu yang membuatkan dia ingin tahu.

''Saya tunggu seseorang..'' Balasku ringkas.

''Tapi...setiap malam selama setahun ni saya nampak awak duduk sini. Setahun awak tunggu dan dia tak juga datang ? Mustahil.''Masih dengan nada tidak berpuas hati dengan jawapanku, gadis itu bertanya lagi. Mungkin bosan menunggu jawapan dariku, dia terus berlalu. 


* * *
setahun sebelum itu...

'Jumpa awak kat restoran biasa, saya ada berita gembira untuk awak.' SMS yang aku terima daripada dia malam itu betul-betul buat aku gembira. Pantas aku bersiap menuju ke sana. Tak sabar untuk mendengarkan khabar gembira dari dia. Mungkin dia bersetuju untuk menerima aku sebagai kekasihnya, siapa tahu kan ?

Sampai sahaja di restoran dijanjikan, keadaan sunyi seperti malam itu. Siapa sangka, berita gembira yang aku tunggu hanya harapan palsu. Janjinya untuk menemuiku malam itu hanya janji palsu. Hampir 3 jam aku menunggu. Panggilan tidak berjawab. SMS tidak berbalas.

Kringggg kringggg. Telefon bimbitku berbunyi, tanpa melihat nama pemanggil di skrin aku lantas menjawab. Mungkin dia, kata hatiku.

Telefon bimbit yang aku genggam kuat terlepas. Panggilan yang aku terima bukan seperti yang aku duga. Mira, kawan baik dia menelefonku. Katanya, Dia sudah tiada. Aku hanya diam. Mira mula menceritakan satu persatu padaku. Katanya lagi, Dia telah setahun menghidapi penyakit leukimia. Padanlah setahun itu dia hanya bersamaku. Dan hanya tiga minggu lepas Doktor mengesahkan yang leukimia dihidapi Dia telah mencapai tahap kritikal. Bukan pada aku saja, pada kedua ibu bapanya juga Dia tidak cerita. Sanggup Dia memendam dan menanggung segala kesakitan itu sendiri. Sanggup Dia menipu aku tentang perasaan dia supaya aku tidak terlalu kecewa dengan pemergiannya. 

Dan semenjak itu, setahun selepas pemergian Dia, aku masih duduk di situ menunggu..Menunggu dia yang aku cinta. 

"Mustahil...''

Mustahil ? Ya memang mustahil. Memang mustahil kalau aku menunggu seseorang yang telah tiada. Yang hakikatnya telah pergi meninggalkan aku selama-lamanya. Yang mustahil akan hidup kembali semata-mata untuk menunaikan janjinya kepadaku. Memang mustahil, tapi biarlah aku tunggu selama mana asalkan aku bahagia dengan harapan palsu yang dia akan muncul juga. Biarlah aku hidup dalam kenangan yang aku sendiri cipta. Biarlah selama mana masa untuk mengubati rasa derita, aku tetap menunggu..Biarpun mustahil..


Suara terakhir Dia berkata dulu kembali terngiang di telingaku. Sesuatu yang aku tidak dapat percaya dengan jelas tapi cukup kuat membuatkan aku masih mencintainya sehingga hari itu..

''Kalau saya pergi. Saya nak awak tahu, saya cintakan awak....''







No comments:

Post a Comment