April 14, 2013

'Kemanisan' Sup Daging Pelita.


Restoran "Pelita" kepunyaan mapley malam tu penuh sesak semacam. Ramai sangat orang berpusu-pusu keluar dan masuk. Nak dikata ada perlawanan bola malam tu, tak ada pulak tapi ramainya orang yang melepak malam tu tak tergambar ramainya. Punyalah ramai macam tengok game bola kat stadium. Agak melampau kan ramainya kalau korang bayangkan ? Ke aku yang melebih-lebihkan keramaiaan mereka ni ?
Riuhnya tak usah ceritalah kan, macam kat pasar malam, pasar pagi, pasar tani dan sepasar dengannya dimana semua peniaga sibuk memasarkan barangan mentah masing-masing. Fuhh sesak !

Aku hanya perhati gelagat sesorang. Aku berjalan perlahan di belakang awek aku membiarkan dia tercangak-cangak mencari tempat duduk yang kosong untuk kami. Bukan tak gentle, aku malas nak bersesak berebut ni. Orang perempuan kan bab berebut lagi hebat. Tak gitu ?

Mata awek aku tajam memerhati tempat kosong untuk diduduki setajam mata helang nak menerkam mangsa. Serius tajam, kalau kena boleh luka. Aku tersenyum sendiri.

Tiba-tiba tangan aku di'ragut' dan ditarik dengan laju oleh awek aku, takut tempat yang di aim di sambar dek 'helang-helang' lain yang sedang berkeliaran. Aku hanya membontoti dan cuba melajukan langkah. Sempat aku menjeling beberapa mata nakal dan mulut kepoh yang tiada henti bicara memerhatikan kami. Atau mungkin aku terlalu perasan kacak seperti diperhatikan ? Argh, persetankan mereka.

Awek aku yang hanya berT-shirt lengan panjang hitam, berseluar jeans bootcut lusuh, dan bertudung mustard diselimpangkan kekiri kanan, muka tanpa sebarang alat solekan yang memplastikkan dan bibir yang semulajadi kemerahjambuan tersenyum berpuas hati ke arah aku. Aku membalas dengan satu kenyitan mata yang kononnya menggoda. Kata hati, kau cantik dan seadanya.

Sebenar-benarnya aku pelik, buang tebiat apa malam ni dia ajak aku ke sini. Jarangnya dia nak melepak kat kedai mapley malam-malam kalau bukan teman aku tengok game bola. Katanyalah, teringin nak makan roti telur. Aku turutkan sahaja, kang kempunan payah pula.

Baru sahaja kami melabuhkan punggung, sorang mapley datang mengambil pesanan. Aku kira servis kedai mamak ni memang tip top tip jugak pantasnya walau ramai. Awek aku memesan roti telur dua dan limau ais.
Dia jeling ke arah aku dan menaik-naikkan keningnya. Itu bahasa isyarat untuk soalan ''Cepatlah order, awk nak makan apa?''. Sup daging dengan Teh'O ais, kata aku pada mapley tersebut sambil tersenyum manis. (aku ni mesti nak puji diri sendiri, HAHAHA). Mapley tu angguk-angguk dan berlalu bersama pesanan kami.

Aku tenung mata awek aku, dengan bersahaja dia tenung balik mata aku. Bukan main dalam tenungannya. Sikit pun dia tak berkelip, aku sedaya upaya menahan pedihnya nak tahan mata dari berkelip jugak. Haish, lawan mata ke apa ni ? Sebab selalunya bila lawan mata, awek aku mesti juara. Dia ada trick yang mampu mengalahkan aku setiap masa. Tak adil bukan ?

Kemudian awek aku senyum, menampakkan lesung pipitnya di sebelah kanan. Manis. Aku secara tak sengaja (padahal memang tersaja) mengenyit mata. Oleh itu, secara automatiknya tanpa perlu sebarang kad kuning atau merah aku telah kalah dengan bermaruah sekali. Ya, sebab awek aku seperti biasa menggunakan taktik menipu luar biasanya itu yang bagi aku begitu kotor sekali untuk memenangi perlawanan semudah itu. Tak adil bukan si dia itu ? (Hakikatnya aku tak puas hati kenapa aku kalah)

Dicuitnya dagu aku, sambil berkata, ''Its okay sayang, TRY HARDEST next time okay ?". Aku tersenyum kelat mendengar kata semangat yang lebih kepada kutukan sebenarnya.

Beberapa minit lepastu, mapley tadi datang membawa makanan yang dipesan. Kali ni aku betul-betul konfiden bahawa khidmat restoran Pelita ini begitu mantap tap tap tap sungguh lajunya. Atau mungkin kali ini sahaja khidmat mereka pantas seperti mekdii drive'thru ? Persoalan itu kita abaikan.

Aku menadah tangan untuk membaca doa makan, awek aku meng'amin'kan. (bakal imamkan kenalah memimpin bacaan, tak gitu ?). Awek aku makan perlahan menikmati makanan sambil memandang aku yang sedang berselera menjamah sup daging yang dipesan.

Aku dongakkan kepala memandang dia. Kening aku dinaik-naikkan sebanyak empat kali. Haha. Itu bahasa isyarat bermaksud ''Pandang-pandang gua makan macamtu, lu nak apa ?''

Awek aku tersengih menampakkan barisan giginya yang teratur. Sengih semacam pulak minah ni. Kau orang tahu apa makna sengihan macamtu ? Tu maknanya dia nak mengencek sikit makanan kau. Ngencek tu maknanya dia nak mintak rasa atau mintak semua apa yang kau tengah makan. Ala macam budak-budak jeling kawan diatengah  makan aiskrim, dalam hati nak tapi malu nak cakap. Haaa, macamtulah rupa dia.

Aku tarik mangkuk sup aku ketepi, aku jeling dia dan geleng-gelengkan kepala.
''No no no, mana cukup kalau bagi awak rasa ni..'' kata aku bersahaja yang dibalasnya dengan menarik muka seribu. Bukan main masam kelat mencuka rupa dia masa tu.

Dia mendengus perlahan dan sedut air dalam gelas laju-laju sebagai tanda protes yang bagi aku tak menjejaskan selera makan aku sikit pun ketika itu. Tapi, aku ceduk sesudu dan suakan ke mulut dia. Mulanya dia hanya menjeling, kemudian dia tersenyum dan membuka mulut.

Yang lucunya kat sini, seperti yang tertera kat tajuk post kali ni, yang kalau kau orang dapat tengok cara dia makan, kompem gelak pontianak jantan kau boleh terhambur keluar adalah sebabbbbb awek aku tak reti makan sup. Ape lahaiiii peliknya.

Kau tahu, beberapa kali aku cuba suapkan sup tu dengan dagingnya, seberapa kali tu jugak kuah supnya ditelan tapi dagingnya tertinggal dalam sudu. Seberapa kali dia cuba hirup sup tu beserta dagingnya sekali, seberapa kali tu jugak tak berjaya. Apa ke cacatnya awek aku ni makan sup pun tak reti. Aku dah nak berdekah tapi dek rupa dia yang masam tu aku cover gelak baik punya. Buat-buat baik hati, aku pun ajar dia tip-tip nak makan sup daging dengan elok dan sopan tanpa digelakkan orang.

Tapi dia terus kata, ''Takpelah, taknaklah. Awk makanlah. Tak sedap pun sup tu..'' Bunyi macam putus asa je kan ?. ''Awk bukak mulut tu besar sikit, bila nak masukkan daging tu dalam mulut tarik daging ke dalam mulut guna gigi bukan bibir.'' kata aku menyuruhnya mencuba sekali lagi (Baikkan aku?).

Masih dengan muka masam, dia ikut apa aku kata dan akhirnya dia berjaya. Awek aku tepuk-tepuk tangan dua tiga kali macam baru dapat aiskrim selepas seharian berjalan di tengah panas. Punya eksaiteddd.
Kemudian dia mencebik dan kata, ''Awk jangan makan sup daging lagilah pasni ya ?''

Dan aku, seperti biasa, hanya tersenyum. Sehari lagi dengan rasa bahagia dek tercuit dengan gelagatnya.


p/s - Cinta tak perlu begitu sempurna. Kekurangan tu sebenarnya membahagiakan. Kekurangan itu kelengkapan dalam hubungan. Kerana kekurangan kau, aku ada keistimewaan untuk dikongsi bersama. Begitu juga sebaliknya :) Bila saling melengkapi, kaulah kawan dan lawan, kaulah kekasih.

No comments:

Post a Comment